Tuesday, July 17, 2007

Renung-renunglah wahai bangsaku...

Negara kita akan menyambut kemerdekaan ke 50 tahun pada 31 Ogos 2007 ini. Semua rakyat pasti beramai-ramai menyambut detik 12 malam itu nanti. Semua bersorak gembira dan melaungkan perkataan MERDEKA berkali-kali. Kita seharusnya bersyukur dilahirkan pada tahun negara kita yang sudah sedianya maju dan bebas dari penjajahan.

Kita memang tidak merasa bagaimana susah dan deritanya waktu zaman penjajahan dulu. Bagaimana pejuang-pejuang bangsa kita berjuang untuk mempertahankan hak orang-orang Melayu dan Agama Islam. Tetapi dalam kesenangan yang kita kecapai membuatkan kita orang melayu leka. Semua budibahasa dan peradaban orang melayu sebagai orang Islam jauh terpesong. Tiada ciri-ciri melayu lagi dalam kehidupan kita zaman ini

Anak-anak remaja tidak menghormati ibubapa, akhlak dan akidah yang di praktikkan sebagai umat Islam sudah tiada lagi. Sifat kemanusiaan yang dipupuk oleh ibubapa sejak kecil sudah hilang dalam diri. Jiwa dipenuhi dengan perasaan benci, dendam, irihati dan nafsu yang membuak-buak. Mana perginya semangat memperjuangkan martabat orang Melayu yang beragama Islam yang mengalir dalam darah kita? Bangsa lain bertepuk tangan melihat orang Melayu yang beragama Islam ini berpecah-belah dan hancur serta menunggu masa merampas negara kita untuk memerintah. Mahu ke negara Malaysia ini di perintah oleh bangsa lain? Mahu ke hak-hak orang melayu di berikan kepada bangsa lain? TIDAK!Tidak sama sekali. Bagaimana caranya untuk kita menyedarkan anak-anak muda kita yang merupakan akar umbi kepada orang Melayu agar mereka sedar untuk kembali kelandasan yang sepatutnya?

Banyak cerita yang melibatkan remaja melayu di paparkan di berita dan akhbar tempatan. Kita seharusnya menyambut baik seruan segelintir pihak yang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik minat remaja kini dari terjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat. Pengaruh yang berusur-unsur hiburan dari luar juga harus ditapis agak remaja ini tidak terpengaruh dengan aktiviti-aktivi negatif yang menjurus perkara- perkara yang tidak bermoral. Kita haruslah menggunakan cara pendekatan yang bijak untuk menarik minat golongan remaja ini untuk tidak terjerumus kembali kepada gejala sosial yang rancak di perkatakan.

Ahli keluarga memainkan peranan yang amat penting bagi mengawal gejala sosial ini. Ibubapa yang bekerja seharusnya meluangkan masa berkomunikasi yang banyak bagi membentuk fikiran anak-anak remaja. Kebanyakan kes-kes yang berlaku akibat sikap ibubapa yang tidak prihatin mengenai masalah anak-anak samada di sekolah atau di rumah. Komunikasi yang berkesan merupakan salah satu cara untuk anak-anak meluahkan segala perasaan dan masalah yang dialami mereka. Menjadi pendengar yang baik juga langkah yang baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Oleh yang demikian, sesuatu yang baik atau buruk bermula dari rumah. Kita menangani sesuatu perkara dengan menggunakan akal bijak bukan dari perasaan atau nafsu semata-mata.

Kita sebagai orang Melayu haruslah berwaspada dan perlu mengambil tahu mengenai isu-isu semasa yang berlaku disekeliling kita. Kita jangan mengambil sikap berdiam diri jika bangsa lain memperlekehkan bangsa melayu lebih-lebih lagi mengenai Agama Islam. Juga kita harus beringat bahawa ada dikalangan orang Melayu sendiri menjadi pengkhianat bangsa sendiri. Kita jangan lupa kepada pejuang-pejuang terdahulu bergadai nyawa mempertahankan negara, bangsa juga agama untuk bebas dari penjajah. Sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba marilah kita renung-renungkan apa jasa yang kita telah buat untuk negara. Al-Fatihah untuk pejuang-pejuang yang telah terkorban dalam memperjuangkan negara, agama dan bangsa. Jasamu tidak terbalas. Hanya Allah yang dapat memberikan ganjaran yang telah ditaburkan. Amin.




























1 comment:

jejaka said...
This comment has been removed by a blog administrator.