Friday, September 14, 2007

Kuota pengambilan pekerja syarikat awam: MCA membela diskriminasi negatif


Dipetik dari Publius Melayu

MCA telah melahirkan kebimbangan kaum bukan Melayu akan tersisih sekiranya kuota pengambilan pekerja dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Sekurang-kurangnya dua pemimpin akar-umbi parti itu kini mempersoal dan menentang syarat kerajaan supaya syarikat-syarikat awam mendedahkan analisis sebenar nisbah kakitangan mengikut kaum.

Ahli Parlimen Kota Melaka Wong Nai Chin mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat-syarikat awam bimbang mereka akan dipaksa memenuhi kuota tersebut. Kenyataan Wong itu berbaur diskriminasi selain mendedahkan amalan selama ini di mana syarikat-syaraikat awam seringkali mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja.

Dengan tindakan membantah dan bersuara lantang mengenai perkara ini, ia jelas sekali memberi kesahihan kepada tanggapan diskriminasi di mana calon-calon Melayu yang memohon mana-mana jawatan diketepikan untuk memberi peluang kepada yang bukan Melayu. Amalan ini berlaku kerana didorong andaian dan persepsi pincang majikan syarikat-syarikat awam bahawa calon berbangsa Melayu tidak berkebolehan dan tidak layak untuk diambil bekerja.

Juga dengan mempersoalkan perkara yang telah dikaji dan diselidik berdasarkan fakta-fakta terperinci oleh kerajaan ini, MCA seolah-olah mempertahankan pendirian asal yang sememangnya berbaur diskriminasi.

Ketua Biro Ekonomi Pemuda MCA, Datuk Henry Wong berkata sektor swasta hanya bergantung pada sumber sendiri dalam soal pengambilan pekerja, dan dalam konteks ini mereka akan hanya mengambil calon yang paling efisien dan produktif.

Apa sebenarnya yang di maksudkan oleh Ketua Biro Ekonomi MCA itu? Apakah dia membayangkan seolah-olah orang Melayu tidak setaraf daripada segi kecekapan dan produktiviti dalam sektor swasta? Tanggapan seperti ini tidak akan dapat mencorakkan agenda dan suasana pengambilan pekerja di kalangan syarikat-syarikat awam.

Lihatlah kepada realiti keadaan masakini. Sesuatu penyelesaian perlu diambil segera demi negara dan kesejahteraan semua bangsa. Perkara-perkara seperti ini akan hanya ditafsirkan sebagai diskriminasi jika seseorang itu melihatnya dari perspektif dan pandangan sempit serta korup di segi moral dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Monday, September 10, 2007

RAMADHAN BAKAL TIBA

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua Muslimin dan Muslimat semoga dibulan yang mulia ini sama-samalah kita membuat amal ibadah untuk mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. AMIN.

WARGA TERENGGANU JANGAN TERPEDAYA....

Merusuh... Menyerang polis... Paling menyedihkan lagi MEMBAKAR BENDERA NEGARA SENDIRI!!! Inikah ciri-ciri budaya dan sikap yang baik untuk dijadikan contoh kepada generasi muda yang ingin ditunjukkan. Malu! Malah menyedihkan.

Apa yang kita dapat jika melakukan perbuatan yang tidak baik ini? Jangan merosakkan nama bangsa dan agama mahupun negeri kita sendiri. Sekarang yang si perusuh-perusuh dapat.. masuk penjaralah! Orang yang mengapi-apikan bertepuk tangan suka.

Ada sebab kenapa permit dari pihak polis tidak dikeluarkan. Kita kena tengok lokasilah kalau nak berceramah. Jika tempatnya sesuai sudah tentu permit dikeluarkan. Takkan berdekatan dengan kawasan Istana nak terpekik berceramahkan?

Satu lagi yang hairannya, anak muda yang beria-ia bagai manusia yang hilang akal bersikap liar dan ganas membaling batu, besi, kayu dan botol serta membaling BOM MOLOTOV hingga menyebabkan kerosakan harta benda awam dan beberapa orang tercedera. Ingatlah jangan biarkan orang lain mempengaruhi fikiran kita untuk melakukan perkara yang tidak betul. Mereka ini hanya mahu merosakkan pemikiran anda semua. Apa yang anda dapat jika merusuh.

Inikan caranya untuk menyumbang kepada pembangunan negara kearah modal insan yang berguna? Kalau nak ikut orang, carilah seseorang yang benar-benar menunjukkan sikap yang baik malah membuktikan keikhlasannya melakukan sesuatu tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Carilah contoh yang telah benar-benar membuktikan kemampuannya dalam menyumbangkan sesuatu kepada Bangsa, Agama mahupun Negara.

Jangan jadi seperti lembu ditarik hidungnya....

Wednesday, August 29, 2007

SKUAD BOLASEPAK NEGARA JUARA! JUARA! JUARA1

Kita JUARA! JUARA! JUARA!

BERJUTA TAHNIAH buat Skuad Bola Sepak Negara yang telah membuktikan kemampuan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka ke-39. Kemenangan ini juga telah mengubat rasa kecewa pada Piala Asia yang lepas.

Sekian lama rakyat Malaysia merindui saat-saat yang begitu bermakna ini bagi menaikkan kembali semangat bola sepak negara. Walaupun terdapat sedikit pertelingkahan yang berlaku pada perlawanan tersebut tetapi ini tidak menjadi penghalang pemain-pemain negara untuk membuktikan kesungguhan yang di tunjukkan.

SYABAS! Buat Skuad Bola Sepak Negara ini. Ini merupakan hadiah paling istimewa buat rakyat Malaysia sempena Kemerdekaan Negara ke-50. Semoga detik-detik manis ini terus dirasai oleh rakyat Malaysia pada perlawanan akan datang. Semangat yang membara ini akan terus berkobar-kobar didalam hati pemain-pemain bola sepak tanahair.

Rakyat Malaysia Pertahankan NegaraMu

Negara kita akan menyambut Kemerdekaan ke-50 pada 31 Ogos ini. Semua kemudahan dan pembangunan telah ada didepan mata kita. Semua rakyat bebas beragama, bebas mengamalkan adat dan budaya masing-masing. Lelaki dan wanita seiring memajukan diri masing-masing tanpa sekatan. Ada juga mendirikan rumahtangga berlainan bangsa mahupun agama. Sudah pasti rukun negara menjadi tunjang utama negara Malaysia. Pemimpin datang dan pergi.. Namun segala jasa dan pengorbanan yang diberikan tidak dapat dijual beli.

Dalam arus pembangunan yang serba moden ini, masih lagi terdapat suara-suara 'sumbang' ketidak puashatian masing-masing. Terlalu banyak anasir-anasir yang tidak mahu melihat rakyat negara ini hidup dalam negara majmuk yang aman.

Yang mereka mahu rakyat kita berpecah belah, mempunyai sikap perkauman, berbunuh sesama bangsa dan yang paling utama negara Malaysia musnah seperti negara-negara yang bertelagah diluar sana. Itu ke yang kita mahukan?? Sedangkan YAB Tengku Abdul Rahman Ketua Menteri Persekutuan pada waktu itu bersusah-payah pergi ke luar negara berunding dengan orang British untuk membebaskan negara dari penjajah serta mendapatkan hak Kemerdekaan Malaysia.

Sedarlah wahai rakyat Malaysia, tidak cukupkah apa yang kita kecapi sekarang ini? Untuk kaya kita perlu usaha.. Untuk pandai kita perlu belajar... Untuk mendapat rahmat dari Tuhan kita perlu beribadat.. Jika ini kita semat dalam hati dan fikiran, sudah pasti sifat tamak dan iri hati tidak menguasai diri kita. Jangan jadi seperti Kacang Lupakan Kulit.. tidak bersyukur.

Jangan mudah terpedaya dengan artikel-artikel yang berunsur hasutan untuk memecah belahkan rakyat serta kerajaan negara ini yang terdapat di dalam buku persendirian, blog-blog mahupun internet. Semua artikel-artikel yang berunsur hasutan dan memburukkan kerajaan adalah datangnya dari individu yang kepentingan mereka tidak dipenuhi. Mereka ini adalah sampah juga musuh negara yang harus di berhati-hati agar tidk terpengaruh dengan kata-kata mereka.

Sebagai rakyat Malaysia, juga seorang bangsa melayu tidak pernah sesekali untuk memburukkan bangsa melayu mahupun kerajaan negara ini kerana rasa bersyukur tidak terhingga diatas pembangunan yang diberikan serta hidup bebas bersama-sama bangsa lain mahupun agama serta budaya.


Wahai Bangsa Melayu, Cina, India dan semua bangsa dalam negara Malaysia.. Mana perginya sikap perpaduan, berkorban sesama kita seperti yang dilakukan oleh nenek moyang kita sewaktu menentang penjajahan Jepun dan British dulu. Tunjukkan pada mereka semua kita tidak bodoh untuk di perlekehkan dengan hasutan-hasutan mereka. Majulah wahai rakyat Malaysia.



















Tuesday, August 28, 2007

Hadiah Kemerdekaan ke-50 Malaysia

Mampukah skuad bola sepak remaja negara menghadiahkan kemenangan kepada negara sempena meraikan kemerdekaan ke-50?

Ianya hanya terjawab apabila skuad negara akan bertemu Myanmar pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka ke-39 di Stadium Shah Alam malam ini. Seandainya skuad negara memenangi perlawanan ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kekecewaan peminat bolasepak tanahair dengan prestasi yang hambar pada Piala Asia lalu.

Melihat melalui persembahan dan prestasi yang bersemangat skuad bola sepak remaja yang memenangi pada perlawanan menentang Singapura lalu, sudah pasti warga Malaysia berbangga dan mengharapkan sesuatu yang baik berlaku sekaligus menjulang nama Malaysia yang telah lama 'berkubur'.

Sokongan penonton juga menjadi perangsang untuk pemain skuad bola sepak remaja negara pada perlawanan akhir menentang Myanmar. Sorakan dan kata-kata semangat dari penyokong Malaysia menjadi tunjang utama pemain-pemain skuad bola sepak ini. Tidak salah mengatakan kejayaan skuad bola sepak remaja Malaysia mara ke peringkat akhir Pestabola Merdeka ke-39 sebagai mengulangi detik-detik kegemilangan kejayaan skuad bola sepak negara.

Untuk pemain skuad bola sepak remaja negara, lakukanlah yang terbaik. Harumkan nama negara kita yang sudah lama tidak disebut-sebut. Semoga skuad bola sepak remaja negara ini menjadi pasukan bola sepak yang di geruni oleh pasukan bola sepak negara lain.

Tuesday, August 21, 2007

Malaysia-Today Merestui Kata-kata Lucah dan Biadab


Dipetik dari blog Publius Melayu


Mengimbas kembali kata-kata Raja Petra Kamaruddin, pemilik laman web berita alternatif interaktif Malaysia-Today.

Dia mendabik dada mengatakan yang segala pemaparan berita serta komen-komen di laman web itu tidak memilih kasih.Tidak melihat sama ada kawan atau lawan – semua menurutnya sama saja demi ketelusan dan mempertahankan kedaulatan hak bersuara tanpa batasan.

Syabas kepadanya kerana sikap begitu 'hebat' dan 'terhormat' yang dipamerkan – sikap yang 'mengacuankan' persona dan peribadi yang kononya bermaruah lantaran ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar pembaca dan pengunjung Malaysia-Today.

Bagaimanapun, ekoran sesi soal-jawabnya dengan polis berikutan komen yang kononnya tersiar pada 11 July 2007, Raja Petra telah mengenakan amaran dan serta-merta 'menapis' komen-komen yang tersiar dalam Malaysia-Today.

Dia tidak mengakui hakikat keterlanjurannya membenarkan komen-komen bersifat lucah, menjatuhkan aib seseorang dan bercorak perkauman. Sebaliknya diperingkat awal dia telah cuba mempertahankan 'neutrality atau 'kebabasan' medium alternatif miliknya itu.

Walaupun dia terus mendabik dada kononya begitu berani berhadapan dengan pihak polis yang menyoal-siasatnya di IPK Dang Wangi hinggakan menurutnya mereka tergamam, namun dia secara spontan meminta para pemberi komen di Malaysia-Today supaya jangan lagi mengeluarkan kata-kata lucah dan sensitif. Hampir kesemua penyokongnya akur akan nasihat tersebut.

Bagaimanapun, 'penapisan' itu hanya mampu bertahan sementara. Kini ia berulang lagi. Penyokong serta aktivis yang begitu ghairah dengan pendiriannya terus-menerus melakukan perkara yang sama, tetapi kali ini dalam bentuk dan pendekatan berlainan. Kini mereka melakukannya secara tidak terang-terangan, sebaliknya menggunakan bayangan dan ungkapan yang sengaja 'dicensor' sendiri dengan cara memangkah perkataan lucah dan sensitif dengan huruf xxx ataupun dengan perkataan 'deleted' dan sebagainya.

Perbuatan ini hanyalah satu helah yang berselindung di sebalik 'loop-hole' undang-undang kerana pada hakikatnya niat mereka masih sama –untuk menjatuhkan aib dan mencetuskan rasa marah di antara kaum.

Bak kata, kalau dah bangkai tu masih bangkai walaupun ditutup. Inilah hakikatnya.

Juga dalam pada itu, semakin hari penyokong Raja Petra yang 'bersilat' sendirian di gelanggang komen laman web Malaysia-Today itu semakin terlupa janji kepada mentor merek. Mereka sudah mula berani mengulangi kata-kata yang dilarang itu secara terbuka.

Sehingga bilakah Raja Petra akan membiarkan ini berlaku tanpa mengambil kira tanggung-jawabnya sebagai warganegara negara tercinta ini?

Kita akur dengan hak Raja Petra untuk mengkritik demi kebabasan dalam sebuah sistem demokrasi. Bagaimanapun, setakat mengajukan 'bukti' yang kononya sahih berhubung kepincangan ahli-ahli politik nemesisnya dan kerajaan, tidak mencukupi. Dia seharusnya memikirkan cara melalui saluran berkesan yang direstui undang-undang.

Sedih sekali , walaupun serangan verbal , tohmahan, innuendo, kesinisan, perli dan bukti-bukti yang kononya tulen itu masih diperingkat tuduhan tanpa pembuktian sahih, namun kesemuanya dipercayai dan ditelan seratus-peratus oleh pengikut dan pembaca yang melewati Malaysia-Today. Mereka tidak memikirkan habis-habis kesahihan barang 'bukti' yang didakwa dipamerkan.

Dalam pada itu kita melihat hampir kesemua pembaca Malaysia-Today begitu teruja dengan fabrikasi kecaman-kecaman terhadap kerajaan dan UMNO. Kata-kata lucah dan menghina termasuk ungkapan anjing!babi! anak haram!dan macam-macam lagi sentiasa diselit dalam komen-komen yang diberikan. Ini jelas mencerminkan betapa rendahnya mentaliti kebanyakan pembaca Malaysia-Today yang terhasut oleh Raja Petra dan kuncu-kuncunya.

Selain cendiakawan penyumbang seperti Dr Bakri Musa, Dr Azly Rahman dan beberapa orang lagi, yang-lain-lainnya bertindak sebagai penulis nyamuk yang hanya mampu mempengaruhi sentimen negatif di kalangan pembaca.

Jika Raja Petra dan penyokong-penyokongnya di Malaysia-Today sanggup menuduh bahawa akhbar arus utama menapis dan memutar-belitkan berita, apa kurangnya Malaysia-Today? Logikkah tiada langsung perkara yang baik dalam pentadbiran negara hinggakan kesemuanya dikecam? Tak kira apa jua topik, walaupun tidak mempunyai kaitan langsung , ia pasti akan dihubungkan dengan politik dan dasar kerajaan untuk dikecam.

Inilah wajah laman web berita alternatif Malaysia-Today yang cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap. Pada dasarnya sesiapa yang mampu menilaikannya akan berasa jijik dan meluat dengan pendirian Raja Petra Kamruddin dan Malaysia-Today.